Budaya boleh hilang apabila bahasa tak lagi dituturkan, seni berhenti dipersembahkan dan ilmu lama tak sempat diwariskan.

Bagaimana perkara ini berlaku di Malaysia?

Bayangkan nenek korang tahu nama setiap pokok di hutan, kegunaannya dan cerita di sebaliknya.

Tetapi apabila tiba generasi cucu, semua itu tak lagi dikenali.

Budaya tidak semestinya hilang dalam satu kejadian besar.

Kadangkala, ia terputus sedikit demi sedikit apabila sesuatu bahasa, ilmu atau amalan tidak lagi diwariskan.

Di Malaysia, kisah bahasa Kenaboi, seni Mak Yong dan Hutan Simpan Kuala Langat Utara membuka perbincangan ini.

Apa itu cultural erasure?

Cultural erasure, atau penghapusan budaya, merujuk kepada proses apabila identiti, bahasa, adat atau sejarah sesuatu komuniti dipadamkan, dipinggirkan atau semakin hilang.

Ia boleh melibatkan larangan rasmi, tekanan untuk mengikut budaya dominan atau kehilangan tempat sesuatu budaya diamalkan.

Namun, bukan semua perubahan budaya bermaksud penghapusan. Kita perlu melihat puncanya, kesannya dan suara komuniti yang terlibat.

1. Bila anak-anak tak lagi bertutur bahasa sendiri

Bahasa boleh hilang apabila semakin sedikit orang menggunakannya, terutama apabila ia tidak lagi diturunkan kepada anak-anak.

Kenaboi di Negeri Sembilan ialah salah satu contohnya.

Bahasa ini sudah pupus, tetapi sebahagian perkataannya pernah direkodkan pada abad ke-19.

Pada 2023, DBP Sarawak turut menyenaraikan Seru, Pegu, Bliun dan Lelak sebagai bahasa yang sudah pupus.

Penghijrahan, saiz komuniti yang kecil dan perubahan bahasa dalam keluarga boleh menyumbang kepada kehilangan ini.

Apabila bahasa utama lebih banyak digunakan di sekolah dan tempat kerja, ruang untuk bahasa komuniti juga boleh mengecil.

Yang hilang bukan sekadar perkataan. Cerita lisan, nama tumbuhan dan cara memahami dunia juga mungkin sukar diwariskan.

2. Bila seni hanya boleh diteruskan dengan syarat

Mak Yong menggabungkan lakonan, tarian, nyanyian dan muzik tradisional.

Pada 1991, kerajaan Kelantan melarang persembahannya atas alasan terdapat unsur yang dianggap bercanggah dengan ajaran Islam.

Pada 2019, persembahan dibenarkan semula dengan syarat patuh syariah.

Perubahan ini menimbulkan perbezaan pandangan.

Ada pihak melihatnya sebagai peluang untuk Mak Yong kembali dipentaskan.

Penggiat seni seperti Eddin Khoo daripada Pusaka pula mempersoalkan sama ada perubahan tersebut menjejaskan bentuk asalnya.

Persoalannya: kalau nama sesuatu seni dikekalkan tetapi unsur pentingnya dibuang, apa yang sebenarnya berjaya dipelihara?

3. Bila tempat belajar budaya turut hilang

Bagi sesetengah komuniti Orang Asli, hutan ialah tempat mencari makanan, mengenali tumbuhan ubatan dan mempelajari adat.

Sebab itu cadangan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada 2020 turut mencetuskan kebimbangan tentang warisan masyarakat Temuan.

Wakil komuniti menyuarakan kebimbangan bahawa kehilangan hutan akan menyukarkan generasi muda mengenali pokok dan adat yang berkait dengannya.

Pada 2021, kerajaan Selangor mengumumkan langkah untuk mewartakan semula sebahagian besar kawasan tersebut.

Kes ini menunjukkan bahawa memelihara budaya juga memerlukan ruang untuk mengamalkannya.

Ada ilmu yang dipelajari melalui pengalaman, bukan sekadar dibaca dalam buku.

Jadi, siapa yang menentukan apa perlu dikekalkan?

Pihak berkuasa mungkin mempertimbangkan pembangunan, undang-undang atau tuntutan agama.

Komuniti pula memikirkan hubungan mereka dengan tanah, seni dan warisan sendiri.

Untuk memahami sesuatu kes, kita boleh tanya:

  • Adakah komuniti terlibat dalam keputusan?
  • Masih bolehkah budaya itu diamalkan dan diwariskan?
  • Adakah perubahan itu pilihan mereka sendiri atau sesuatu yang terpaksa diterima?

Budaya memang sentiasa berubah. Tetapi apabila sesuatu bahasa atau amalan semakin hilang, suara orang yang mewarisinya perlu didengar.

Kalau generasi seterusnya hanya mengenali budaya sendiri melalui muzium, cukupkah itu?