Skrol TikTok mungkin sekadar hobi bagi ramai orang, tetapi impak platform dari China itu terhadap ekonomi Malaysia bukan kecil.

Menurut kajian 2026 oleh firma perunding global Kearney, platform TikTok memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara.

Kearney menganggarkan TikTok menyumbang kira-kira RM20 bilion ($4.9 bilion) dalam Nilai Ditambah Kasar atau Gross Value Added (GVA) kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2025.

Jumlah itu bersamaan kira-kira 1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal Malaysia bagi tahun sama, sekitar 4% daripada keseluruhan ekonomi digital negara.

Untuk sebuah platform media sosial, angka ini menunjukkan impaknya jauh lebih besar daripada sekadar tempat orang menonton video pendek.

Bukan Sekadar Duit Iklan

Apa yang menarik, angka RM20 bilion itu bukan hanya merujuk kepada pendapatan TikTok di Malaysia.

Ia turut merangkumi aktiviti ekonomi yang berlaku melalui platform tersebut, daripada peniaga kecil yang menjual menerusi TikTok Shop, kerjasama pencipta kandungan dan jenama.

Hinggalah kepada sektor logistik, pembekal dan perkhidmatan lain yang menyokong ecosystem ini.

Maksudnya, setiap kali bisnes mendapat pelanggan, content creator jana pendapatan atau produk dihantar kepada pembeli, semua itu menjadi sebahagian daripada kesan ekonomi yang diukur.

Hampir 150,000 Peluang Pendapatan

Menurut laporan yang sama, aktiviti TikTok di Malaysia dianggarkan mewujudkan pekerjaan atau peluang pendapatan kepada sekitar 147,000 individu di seluruh negara.

Jumlah itu bersamaan kira-kira 0.9% daripada tenaga buruh Malaysia, berdasarkan anggaran sekitar 17 juta tenaga kerja pada 2025.

Laporan oleh Kearney turut menganggarkan sumbangan ekonomi bagi setiap individu dalam ekosistem TikTok adalah sekitar 15% hingga 20%, lebih tinggi daripada purata nasional.

Ini menunjukkan aktiviti yang terhasil melalui platform itu bukan sekadar pekerjaan sampingan bernilai rendah, tetapi turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi yang produktif.

Kenapa Ini Penting?

Dulu, sumbangan besar kepada ekonomi biasanya dikaitkan dengan sektor seperti pembuatan, minyak dan gas atau pertanian.

Kini, sebuah platform berasaskan video pendek juga mampu memberi sumbangan besar kepada ekonomi digital Malaysia.

Ia mencerminkan struktur ekonomi negara sedang berubah, apabila kandungan digital, e-dagang dan ekonomi pencipta semakin menjadi sumber pendapatan sebenar.

Pada masa yang sama, perubahan pada algoritma, dasar pengiklanan atau peraturan terhadap platform seperti TikTok bukan lagi sekadar memberi kesan kepada pengalaman pengguna.

Ia juga boleh memberi kesan kepada peniaga, pencipta kandungan dan ribuan individu yang bergantung pada monetisation dan ekosistem tersebut.

Dalam dunia yang menuju ke arah digital, Malaysia bukan saja bergantung pada syarikat besar, tapi juga pada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menjadi antara tulang belakang ekonomi negara.

Bagi banyak PMKS, platform digital kini jadi ruang penting untuk cari pelanggan, membina jenama dan tingkatkan jualan tanpa perlu modal pemasaran yang terlalu besar.

Platform seperti TikTok kini memainkan peranan lebih besar dalam membuka peluang kepada PMKS, pencipta kandungan dan golongan muda untuk sama-sama ambil peluang dalam ekonomi digital.

3 Perkataan Hari Ini

1. Gross Value Added (GVA) — Nilai Ditambah Kasar
Ukuran nilai ekonomi yang dihasilkan oleh sesuatu sektor atau aktiviti.

2. Monetisation — Penjanaan Pendapatan
Proses menghasilkan wang daripada kandungan, audiens atau sesebuah platform.

3. Ecosystem — Ekosistem
Rangkaian pihak yang saling berkait dan bergantung antara satu sama lain, seperti pengguna, pencipta kandungan, peniaga dan platform.