Malaysia dan Indonesia akan memperhebat langkah pencegahan bagi menangani jerebu rentas sempadan, dalam usaha memastikan kualiti udara lebih baik menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, komitmen itu dibincangkan bersama Menteri Alam Sekitar Indonesia, Jumhur Hidayat hari ini.
Usaha ini turut mengambil kira jangkaan El Niño yang akan semakin kuat menjelang Oktober 2026, serentak dengan Monsun Barat Daya.
Malaysia turut menyambut baik kelulusan Indonesia yang membenarkan pihak berkuasa Malaysia memasuki ruang udara negara itu bagi menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan berhampiran sempadan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia kini sedang menyediakan jadual operasi yang akan diselaraskan bersama pihak tentera Indonesia.
Menurut Arthur, Malaysia juga bersedia membantu Indonesia memadam kebakaran sekiranya diperlukan.
Selain itu, Malaysia turut menyokong langkah agresif Indonesia, termasuk penambahan 1,500 anggota tentera, penggunaan helikopter berkapasiti besar untuk operasi water bombing serta operasi modifikasi cuaca yang lebih giat.
Kementerian akan terus memantau titik panas dan kualiti udara melalui Jabatan Alam Sekitar dan MetMalaysia, sambil mengekalkan penyelarasan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia.
Sementara itu, sebanyak 10 kawasan di empat negeri mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi ini.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 194, menghampiri kategori sangat tidak sihat.
Negeri itu paling terjejas apabila lima kawasan merekodkan IPU melebihi 100, termasuk Kuching (176), Samarahan (172), Sri Aman (158) dan Bintulu (125).
Lima lagi kawasan yang merekodkan tahap IPU tidak sihat ialah Johan Setia (160) dan Kuala Selangor (101) di Selangor, Sungai Petani (155) dan Alor Setar (152) di Kedah serta Minden, Pulau Pinang (130).
Pada masa sama, 58 kawasan lain merekodkan kualiti udara sederhana, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan baik, sangat tidak sihat atau berbahaya.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan rekod catatan di 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar yang berpanjangan, terutama bagi kanak-kanak, warga emas dan golongan sensitif.