Keadaan udara di beberapa kawasan Sarawak semakin membimbangkan pagi ini.

Setakat jam 8 pagi, tiga kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya di beberapa lokasi.

Bacaan tertinggi direkodkan di IPD Serian dengan 320, diikuti Kuching (318) dan Samarahan (302).

Menurut data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), lima kawasan lain di Sarawak pula berada pada tahap sangat tidak sihat.

Antaranya ialah Sibu (292), Sarikei (283), Mukah (241), Bintulu (226) dan Sri Aman (214).

Bukan Sarawak sahaja yang terjejas.

Sebanyak 16 stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, termasuk beberapa kawasan di Sabah, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Samalaju, Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi dalam kategori tidak sihat iaitu 196, diikuti Kapit (187), Politeknik Kota Kinabalu (185), ILP Miri (183), serta Labuan dan Miri yang masing-masing mencatatkan 181.

Kawasan lain yang turut merekodkan bacaan tidak sihat termasuk Kota Kinabalu, Kimanis, Keningau, Limbang, Johan Setia, Sandakan, Putrajaya, Nilai, Tawau dan Seremban.

Sementara itu, sebanyak 44 stesen merekodkan bacaan pada tahap sederhana manakala tiada stesen mencatatkan bacaan pada tahap baik.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

Jika anda berada di kawasan dengan bacaan IPU tinggi, elakkan aktiviti luar yang tidak perlu dan semak bacaan terkini sebelum keluar.