Ramai anggap Jawi sekadar tulisan lama. Tapi sebenarnya, Jawi masih digunakan dalam beberapa konteks di Malaysia dan kini turut diperkenalkan dalam Kurikulum Prasekolah 2026.

Bak kata pepatah, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,” begitulah juga Jawi yang terus bertahan sebagai sebahagian daripada warisan bahasa dan budaya Melayu.

Jadi, bila Jawi mula digunakan dan di mana kita masih boleh melihatnya hari ini?

Apa Itu Jawi?

Jawi ialah sistem tulisan bahasa Melayu yang menggunakan aksara Arab yang diubah suai.

Sebelum Rumi digunakan secara meluas, Jawi menjadi antara tulisan utama dalam surat rasmi, karya sastera, kitab agama dan urusan pentadbiran.

Jawi Sudah Wujud Lebih 1,000 Tahun

Walaupun Rumi menjadi tulisan utama, Jawi masih digunakan dalam pendidikan Islam, bahan atau dokumen tertentu, mata wang serta papan tanda di sesetengah negeri.

Di Kelantan dan Terengganu, contohnya, Jawi turut menjadi sebahagian daripada identiti dan warisan budaya.

Antara bukti awal tulisan berasaskan Arab di Tanah Melayu ialah batu nisan di Kedah yang bertarikh 290 Hijrah (910 Masihi).

Kemudian, Batu Bersurat Terengganu, bertarikh sekitar 1303 Masihi, menjadi antara bukti penting penggunaan Jawi di Tanah Melayu.

Bila Rumi Mula Dominan?

Penggunaan Rumi berkembang secara beransur-ansur, khususnya dalam sistem pendidikan dan pentadbiran pada zaman British.

Pada 16 Ogos 1972, Malaysia dan Indonesia memperkenalkan sistem ejaan Rumi yang diselaraskan.

Bagi Jawi pula, Dewan Bahasa Pustaka menerbitkan ‘Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan’ pada 1986 sebagai panduan ejaan Jawi piawai.

Jawi Kembali Diperkenalkan di Prasekolah

Mulai Kurikulum Prasekolah 2026, kanak-kanak diperkenalkan kepada asas Jawi secara berperingkat.

Daripada mengenal huruf tunggal dan bersambung kepada perkataan dan ayat mudah.

Ini menjadikan Jawi bukan sekadar sebahagian daripada sejarah, tetapi turut mendapat tempat dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Jadi, Adakah Jawi Masih Relevan?

Jawi mungkin bukan lagi tulisan utama, tetapi ia masih hidup dalam pendidikan, budaya dan ruang awam negara.

Daripada batu bersurat berusia ratusan tahun hingga kurikulum prasekolah hari ini, Jawi terus menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti bahasa Melayu.