“Kereta baru” atau “kereta baharu”?

“Saya baru sampai” atau “saya baharu sampai”?

Petua paling mudah ialah: baru boleh bermaksud just, manakala baharu bermaksud new.

Namun, ada satu perkara yang ramai terlepas pandang: Dewan Bahasa Pustaka turut menerima baru dengan maksud new.

Jadi, “kereta baru” tidak bermakna penggunaan itu salah.

Bila Kita Guna “Baru”?

Gunakan baru apabila maksudnya sesuatu yang berlaku tidak lama dahulu contohnya:

  • “Saya baru sampai.” (I just arrived.)
  • “Mereka baru berkenalan.” (They just met.)
  • “Baru-baru ini, saya berpindah rumah.” (I moved house recently.)

Untuk maksud masa seperti ini, gunakan baru, bukannya baharu.

Bila Kita Guna “Baharu”?

Baharu menerangkan sesuatu yang new:

  • “Dia membeli kereta baharu.”
  • “Syarikat itu melantik pengarah baharu.”
  • “Kerajaan memperkenalkan dasar baharu.”

Dalam ayat ini, baru juga boleh digunakan. Tetapi jika anda mahu membezakan maksud just dan new dengan jelas dalam tulisan, gunakan baharu untuk new.

Lihat bagaimana kedua-duanya berfungsi dalam satu ayat: “Saya baru beli telefon baharu.”

Perkataan baru memberitahu bila telefon itu dibeli; baharu menerangkan telefon tersebut.

Kita juga menemui ejaan baharu dalam perkataan seperti pembaharuan dan memperbaharui.

Sementara itu, Bahru dalam Johor Bahru ialah sebahagian daripada nama tempat, jadi ejaan nama itu dikekalkan.

Ingat begini: Jika maksud anda just, tulis baru. Jika maksud anda new, baharu ialah pilihan yang jelas, walaupun baru juga diterima untuk maksud itu.