Samarahan, Sarawak mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi di seluruh negara, dengan bacaan 230 setakat jam 9 pagi tadi.
Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan itu meletakkan Samarahan dalam kategori sangat tidak sihat.
Ini menjadikannya satu-satunya kawasan di Malaysia berada pada tahap tersebut ketika ini susulan tiada kawasan merekodkan bacaan berbahaya.
Selain Samarahan, 11 kawasan lain di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Antaranya ialah Sarikei dan IPD Serian dengan bacaan 195, diikuti Kuching (193), Sibu (184), Mukah dan Sri Aman (182), Samalaju (178), Bintulu (170), ILP Miri (169), Miri (166) dan Limbang (148).
Keadaan ini menunjukkan masalah jerebu bukan hanya tertumpu di satu kawasan, sebaliknya melibatkan beberapa bahagian di Sarawak.
Lembah Klang Turut Catat Udara Tidak Sihat
Di Lembah Klang, sembilan kawasan turut merekodkan bacaan melebihi 100.
Johan Setia mencatatkan bacaan tertinggi pada 185, diikuti Shah Alam (167), Batu Muda dan Putrajaya (162), Cheras (160), Klang (159), Petaling Jaya dan Banting (158), serta Kuala Selangor (157).
Beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Perak, Johor, Melaka, Pahang dan Sabah turut berada dalam kategori tidak sihat.
Apa Situasi Di Seluruh Negara?
Setakat jam 9 pagi, 41 kawasan di seluruh negara mencatatkan kualiti udara tidak sihat, 23 kawasan berada pada tahap sederhana dan hanya dua kawasan berada pada tahap baik.
Dua kawasan tersebut ialah Langkawi, Kedah dengan bacaan 45 dan Kangar, Perlis dengan bacaan 40.
Data IPU dikemas kini setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara.
Oleh itu, bacaan boleh berubah mengikut keadaan cuaca, arah angin dan tahap pencemaran semasa