Taanusiya Chetty mencuri perhatian di pentas Miss World ke-73 di Vietnam selepas menyampaikan mesej dalam empat bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil ketika cabaran Head-to-Head.
Video tersebut kemudian tular di media sosial, dengan ramai memuji cara beliau membawa identiti Malaysia yang berbilang bahasa ke pentas antarabangsa.
Namun, Taanusiya lebih daripada sekadar kebolehan bercakap empat bahasa.
Beliau yang merupakan seorang guru Bahasa Inggeris sekolah menengah dan aktivis, menggunakan peluang itu untuk melaungkan mesej,
“Jangan tunggu dunia berubah, jadilah perubahan.”
Mesej itu datang daripada pengalaman hidupnya sendiri.
Kehilangan Ibu Dorong Aktiviti Aktivism
Ketika berusia 14 tahun, Taanusiya kehilangan ibunya dalam kemalangan jalan raya ketika keluarganya dalam perjalanan menghadiri pengebumian.
Beliau kemudian mendapat sokongan oleh ibu tirinya yang membantu menempuh tempoh tersebut.
Sebelum akhirnya mendorong Taanusiya untuk lebih aktif dalam pendidikan serta kerja komuniti.
Pada 2022, beliau menubuhkan Be The Change Malaysia, sebuah program untuk kanak-kanak dan golongan muda.
Antara inisiatif dijalankan termasuk sekolah dalam hospital untuk kanak-kanak Orang Asli, bengkel seni untuk belia autisme serta aktiviti bersama pesakit kanak-kanak leukemia.
Program berkenaan dilaporkan sudah menjangkau kira-kira 8,000 kanak-kanak dan mengumpul sekitar RM60,000 menerusi kerja komuniti.
Menariknya, kerja komuniti itu bukan bermula selepas beliau menyertai Miss World.
Projek Beauty With a Purpose beliau turut merangkumi program seperti Learning by the Waves.
Program itu membawa sukarelawan ke komuniti Orang Asli untuk mengadakan aktiviti komunikasi Bahasa Inggeris, kesihatan dan pembinaan keyakinan.
Beliau juga memperkenalkan inisiatif Empowering Minds by 2028, yang memberi fokus kepada kecerdasan emosi dan pembangunan diri.
Taanusiya Angkat Budaya Negara
Persediaan Taanusiya ke Miss World juga bukan singkat. Taanusiya dilaporkan membuat persiapan selama kira-kira 19 bulan.
Untuk segmen bakat pula, beliau memilih tarian silat selepas berlatih selama sembilan bulan, sebagai strategi membawa elemen Malaysia ke pentas dunia.
Dan kalau tertanya-tanya, Malaysia masih belum pernah membawa pulang mahkota Miss World.
Pencapaian terbaik negara setakat ini ialah tempat ketiga oleh Lina Teoh pada 1998.
Diikuti Rahimah Orchient Yayah yang mara ke Top 10 pada 1994 dan Deborah Henry ke Top 16 pada 2007.
Jadi, sama ada Taanusiya berjaya mencipta sejarah kali ini atau tidak, penampilannya sudah pun membawa perspektif berbeza terhadap pertandingan ratu cantik.
Tambahan pula, pentas ratu cantik itu juga boleh digunakan untuk membawa cerita tentang pendidikan, budaya dan identiti Malaysia kepada khalayak antarabangsa.