Pada 31 Ogos lalu, tiga ahli Girls’ Generation (SNSD) iaitu Hyoyeon, Yuri dan Sooyoung debut sebagai unit baharu, HRS, menerusi single Skibidi.
SNSD memulakan kerjaya pada 5 Ogos 2007 dengan sembilan ahli, sebelum mencipta nama sebagai antara kumpulan wanita legenda dalam sejarah K-pop.
Ketika banyak girl group K-Pop tidak bertahan melepasi tujuh tahun, SNSD masih membawakan projek baharu hampir dua dekad kemudian.
Jika anda rindu zaman kegemilangan SNSD, jom imbas kembali lima lagu popular mereka.
1. Gee (2009)

Gee ialah lagu yang melonjakkan populariti SNSD di Korea Selatan dan luar negara.
Melodi yang mudah diingati, konsep berwarna-warni dan tarian ikonik menjadikannya antara lagu paling dikenali dalam sejarah K-Pop.
Lagu ini turut menduduki tempat pertama dalam Music Bank selama sembilan minggu berturut-turut.
Bagi ramai peminat antarabangsa, Gee menjadi pintu pertama mereka mengenali dunia K-Pop.
2. Genie (2009)

Jika Gee menampilkan sisi comel SNSD, Genie pula memperlihatkan imej yang lebih matang dan yakin.
Lagu ini dikenali dengan rentak elektronik dan tarian kaki yang menjadi identitinya.
Genie juga membantu mengukuhkan kedudukan SNSD sebagai antara kumpulan wanita utama pada era tersebut.
3. Into the New World (2007)

Into the New World ialah lagu debut SNSD.
Walaupun tidak mencatat kejayaan sebesar Gee ketika awal pelancaran, lagu ini membawa makna tersendiri dari semasa ke semasa.
Mesej tentang harapan, keberanian dan melangkah ke masa depan menjadikannya lagu yang sering dinyanyikan dalam acara awam serta perhimpunan di Korea Selatan.
4. The Boys (2011)

The Boys memperkenalkan sisi SNSD yang lebih berani.
Berbeza daripada imej ceria dalam lagu terdahulu, lagu ini menggunakan bunyi elektronik yang lebih berat dan konsep penuh keyakinan.
Ia turut mempunyai versi bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada usaha SNSD mendekati pasaran antarabangsa.
5. Forever 1 (2022)

Selepas lima tahun tanpa album penuh berkumpulan, SNSD kembali menerusi Forever 1 sempena ulang tahun ke-15 mereka.
Dengan mesej tentang hubungan yang kekal, lagu ini seperti surat penghargaan kepada peminat yang terus menunggu.
Forever 1 juga membuktikan bahawa SNSD masih mampu mengekalkan identiti mereka dan tampil lebih matang.