Kalau anda pemandu e-hailing, penghantar makanan atau freelancer sepenuh masa, ini berita yang anda patut tahu!

Akta Pekerja Gig 2025 yang berkuat kuasa sejak April 2026 lalu memberi perlindungan undang-undang lebih jelas kepada pekerja gig.

Ini melibatkan kira-kira 1.64 juta rakyat Malaysia, atau hampir 10% tenaga kerja negara.

Daripada Kerja Tidak Formal Kepada Kerjaya Diiktiraf

Sebelum ini, kerja gig sering berada dalam zon kelabu iaitu bukan pekerja tetap, tetapi bukan juga sepenuhnya dianggap perniagaan sendiri.

Dengan akta tersebut, pekerja gig kini mempunyai rangka kerja yang lebih formal, termasuk terma kerja jelas dan tidak hanya bergantung kepada peraturan platform.

Perlindungan Yang Lebih Kukuh

Antara perubahan penting ialah perlindungan kemalangan semasa bekerja, perubahan itu sangat wajar khususnya untuk pekerjaan seperti penghantaran dan e-hailing.

Pekerja kini mempunyai saluran yang lebih jelas untuk menyelesaikan pertikaian sekiranya berdepan masalah atau layanan tidak adil daripada pihak platform.

Pendekatan Malaysia juga lebih luas berbanding beberapa negara lain.

Ia bukan sahaja melibatkan pekerja platform berasaskan aplikasi, tetapi turut merangkumi freelancer dan sesetengah pekerja bekerja sendiri.

Ini bermakna perlindungan tersebut tidak terhad kepada pemandu atau penghantar sahaja.

Namun, pelaksanaan akta ini masih di peringkat awal.

Antara perkara yang masih perlu diperincikan ialah cara piawaian pendapatan minimum akan ditetapkan.

Selain itu, menetapkan mekanisme caruman seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja gig.

Kenapa Akta Ini Masih Dipertikaikan?

Walaupun Akta Pekerja Gig memberi beberapa perlindungan baharu, pengkritik berpendapat ia masih tidak menyelesaikan isu paling asas iaitu status pekerjaan pekerja gig.

Golongan itu kekal dianggap sebagai kontraktor bebas, bukannya pekerja tetap, sekali gus mengehadkan hak yang sepatutnya diterima seperti pekerja biasa.

Ini bermakna pekerja gig masih tidak mendapat jaminan gaji minimum bulanan, cuti tahunan berbayar, cuti sakit berbayar atau caruman KWSP daripada majikan.

Malah, sebahagian perlindungan sosial masih bergantung kepada potongan daripada pendapatan pekerja sendiri, bukan sumbangan terus daripada platform.

Selain itu, ada pihak melihat perkembangan ini sebagai jurang kuasa antara platform dan pekerja yang masih besar.

Platform masih mempunyai pengaruh kuat dalam menentukan kadar bayaran, penggunaan algoritma dan penggantungan akaun.

Jadi, walaupun akta ini dianggap satu langkah ke hadapan, persoalannya ialah sama ada ia benar-benar mengubah kedudukan pekerja gig.

Atau sebaliknya sekadar memberi perlindungan tambahan tanpa mengubah struktur asal industri.