Ini antara soalan yang biasa ditanya graduan bila nak siapkan resume pertama: perlu ke letak Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA)?

Jawapannya bergantung pada keputusan akademik, pengalaman kerja, syarat jawatan dan apa yang anda boleh 'sembang' dalam resume.

1.Adakah CGPA Anda Satu Kelebihan?

Kalau CGPA anda sekitar 3.5 ke atas, ia boleh menjadi satu pencapaian yang berguna untuk dimasukkan, terutama jika anda masih belajar atau baru tamat pengajian.

Kalau CGPA anda sekitar 3.0 hingga 3.49, keputusan untuk meletakkannya lebih bergantung pada konteks.

Contohnya, ia mungkin masih relevan jika majikan meminta CGPA atau jika anda belum mempunyai banyak pengalaman lain untuk ditunjukkan.

Kalau CGPA lebih rendah, anda tidak semestinya perlu memaparkan jika ia tidak diminta.

Sebaliknya, beri lebih ruang kepada pengalaman, projek, kemahiran atau pencapaian yang lebih relevan.

Paling penting, jangan ubah atau “cantikkan” nombor CGPA. Jika dimasukkan, pastikan ia tepat!

2. Berapa Lama Anda Sudah Bekerja?

Untuk fresh graduate, CGPA biasanya lebih relevan kerana pengalaman kerja anda masih terhad.

Ia boleh menjadi salah satu petunjuk awal kepada majikan tentang prestasi akademik anda.

Tetapi apabila anda sudah mempunyai beberapa tahun pengalaman kerja, pencapaian profesional biasanya menjadi lebih penting.

Indeed memaklumkan bahawa selepas kira-kira tiga hingga lima tahun pengalaman profesional, GPA selalunya sudah tidak perlu dimasukkan kerana pengalaman kerja memberi gambaran yang lebih berguna kepada majikan.

Jadi, semakin lama anda berada dalam dunia kerja, semakin kurang penting CGPA dalam resume.

3. Adakah Majikan Minta?

Ini yang paling mudah.

Kalau iklan kerja atau borang permohonan secara jelas meminta CGPA, masukkan.

Sesetengah program graduan, internship atau jawatan entry-level memang menggunakan CGPA sebagai salah satu kriteria awal permohonan.

Harvard Career Services juga menyarankan supaya GPA dimasukkan dalam resume jika majikan secara khusus memintanya.

Dalam situasi ini, jangan tinggalkan maklumat tersebut hanya kerana anda rasa CGPA anda kurang tinggi.

4. Adakah CGPA Relevan Dengan Jawatan Itu?

Tidak semua pekerjaan memberi penekanan yang sama kepada keputusan akademik.

Untuk sesetengah jawatan entry-level yang sangat teknikal, akademik atau mempunyai syarat kelayakan tertentu, CGPA mungkin lebih berguna sebagai petunjuk awal.

Tetapi untuk jawatan yang lebih bergantung kepada portfolio, pengalaman, projek atau kemahiran praktikal, hasil kerja anda mungkin lebih penting daripada nombor CGPA.

Sebab itu, lebih baik lihat dahulu apa yang ditekankan dalam job description.

Jika majikan banyak bercakap tentang portfolio, software, projek atau pengalaman, pastikan perkara itu juga mendapat ruang utama dalam resume anda.

5. Ada Tak Sesuatu Yang Lebih Kuat Untuk Ditonjolkan?

Resume mempunyai ruang yang terhad.

Kalau anda mempunyai internship relevan, projek dengan hasil yang jelas, pencapaian pertandingan, portfolio atau sijil profesional, ia mungkin lebih kuat daripada CGPA semata-mata.

Malah, Harvard Career Services mengingatkan pelajar supaya tidak terlalu bergantung pada GPA sehingga mengabaikan kemahiran serta projek sebenar.

Contohnya, daripada hanya menulis: "CGPA: 3.42"

Cuba: "Developed a marketing campaign that increased event registrations by 35%"

Untuk sesetengah jawatan, pencapaian seperti ini memberi lebih banyak maklumat kepada recruiter tentang kemampuan anda.

Jadi, Perlu Ke Letak CGPA?

Cara paling mudah untuk buat keputusan:

Letak CGPA jika ia kuat, anda masih baru dalam pasaran kerja, atau majikan memang minta.

Kalau anda sudah mempunyai pengalaman dan pencapaian yang lebih baik, CGPA biasanya boleh diberi kurang penekanan atau tidak dimasukkan langsung.

Dan kalau anda masukkan CGPA, letakkannya secara ringkas di bahagian Education, contohnya:

"Bachelor of Business Administration, Universiti X
CGPA: 3.67/4.00"