KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 12.3 peratus kepada RM32.8 bilion pada suku kedua 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah pelancong domestik pula meningkat 7.9 peratus kepada 29.6 juta orang.
Namun, perbelanjaan suku kedua menurun 3.6 peratus berbanding RM34 bilion pada suku pertama tahun ini.
Jumlah keseluruhan pengunjung domestik, termasuk mereka yang tidak bermalam, meningkat 4.3 peratus berbanding suku kedua 2025 kepada 73.8 juta orang.
Melawat saudara-mara dan rakan menjadi tujuan utama perjalanan domestik, merangkumi 44.1 peratus daripada jumlah pengunjung.
Ini diikuti aktiviti membeli-belah (21.6 peratus) dan bercuti (13 peratus).
Tambah DOSM, pertumbuhan perbelanjaan yang lebih pantas daripada pertambahan jumlah pengunjung menunjukkan perbelanjaan pelancongan domestik semakin kukuh.