Kelangsungan pendidikan masyarakat Melayu dan Bumiputera pada masa depan tidak boleh terus bergantung kepada kuota semata-mata, sebaliknya perlu beralih kepada pembinaan keupayaan dan daya saing sendiri.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kejayaan tidak seharusnya hanya diukur melalui jumlah kemasukan ke universiti sahaja.
Tetapi kemampuan menguasai bidang kritikal seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), membangunkan teknologi serta memiliki harta intelek.
"Ukurannya bukan sekadar berapa ramai yang memasuki universiti, tetapi berapa ramai yang mampu berfikir, menguasai STEM, membina syarikat global dan memimpin institusi bertaraf dunia," katanya.
Menurutnya, sistem pendidikan perlu beralih daripada fokus kepada akses semata-mata kepada kualiti dan kompetensi, selain menggalakkan keusahawanan dan pemilikan teknologi.
Tegasnya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilihat sebagai laluan utama pembangunan bakat, bukan pilihan kedua.
Dalam masa sama, Zambry berkata dasar afirmatif masih diperlukan selagi ketidakseimbangan struktur belum diatasi, namun hala tuju akhirnya adalah untuk memperkukuh keupayaan dan kemandirian Bumiputera.
Zambry turut menekankan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan identiti, manakala bahasa Inggeris serta bahasa lain penting untuk meningkatkan daya saing global.
Tambahnya, resolusi daripada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk pertimbangan tindakan dasar selanjutnya.
Kredit Gambar: Awani