KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) memaklumkan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Seri Paduka Baginda hari ini.
"Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat tersebut.
"Maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara," menurut kenyataan itu.
Permohonan pengampunan Najib sebelum ini dipertimbangkan pada 11 September, namun ditangguhkan ke mesyuarat seterusnya.
Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Bekas Perdana Menteri itu pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada Februari 2024, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.