Cuba perhatikan sekeliling anda.
Kereta di lampu isyarat sebelah mungkin Chery, Jaecoo atau BYD.
Kedai minuman bawah pejabat pula mungkin Mixue atau Chagee. Telefon dalam poket pun mungkin jenama dari China.
Jenama-jenama ini semakin dekat dengan kehidupan harian kita. Tapi apa yang mendorong perkembangan jenama dari China di Malaysia?
Banyak Ke Kita Import Dari China?
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), import Malaysia dari China mencecah RM45.83 bilion pada Julai 2026, meningkat 60.1% berbanding Julai tahun sebelum.
Namun, angka import itu bukan ukuran berapa banyak rakyat Malaysia membeli produk pengguna China.
Ia turut merangkumi barang yang digunakan oleh perniagaan dan kilang.
Contohnya, komponen boleh dibawa masuk untuk dipasang menjadi produk lain sebelum dieksport semula.
Dalam statistik keseluruhan Malaysia bagi Julai 2026, import barangan perantaraan meningkat 40.8%, berbanding 5.2% bagi barangan penggunaan.
Angka ini meliputi import dari semua negara, bukan China sahaja.
Pembukaan kedai jenama China juga tidak sama dengan kemasukan barang import.
Secawan teh yang disediakan di Malaysia ialah jualan tempatan, walaupun jenamanya berasal dari China.
Sebahagian bahan atau peralatan mungkin diimport, tetapi harga minuman itu tidak boleh terus dianggap sebagai nilai import.
Dalam sektor kereta, jenama China sudah masuk kelompok utama
Data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan peningkatan jenama China dalam pasaran automotif.
Bagi Januari hingga Ogos 2026, Chery mencatat 21,206 pendaftaran, menjadikannya jenama kelima tertinggi di Malaysia.
Jetour berada di tempat kelapan dengan 7,503 pendaftaran, manakala BYD di tempat kesembilan dengan 7,472 pendaftaran.
Ketiga-tiganya berada dalam kelompok 10 teratas.
Namun, Perodua dan Proton masih mendahului dengan jauh, masing-masing mencatat 219,559 dan 135,169 pendaftaran dalam tempoh yang sama.
Kehadiran jenama China yang ketara tidak bermaksud mereka sudah menguasai pasaran.
Angka ini juga merujuk kepada pendaftaran, bukan jumlah jualan atau import.
Jadi, apa yang boleh menjelaskan perkembangan ini?
1. Pengeluar China mencari pasaran baharu
Bayangkan sebuah kedai roti mempunyai mesin yang mampu menghasilkan 1,000 biji roti sehari. Tetapi permintaan cuma 600 biji.
Kedai itu mempunyai lebihan kapasiti, atau overcapacity, kemampuan pengeluaran yang melebihi permintaan.
Ini tidak semestinya bermaksud semua 1,000 biji roti sudah dibakar.
Masalahnya ialah sebahagian kemampuan pengeluaran tidak dapat digunakan dengan menguntungkan.
Dalam sesetengah sektor di China, pelaburan besar telah meningkatkan kemampuan pengeluaran.
Pada masa yang sama, permintaan domestik masih lemah.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan bahawa kelemahan permintaan dan lebihan bekalan dalam beberapa sektor menyumbang kepada pergantungan China terhadap eksport.
Apabila peluang jualan di pasaran sendiri terbatas, mencari pembeli di luar negara menjadi salah satu jalan untuk berkembang.
Tetapi kita tidak boleh menggunakan penjelasan ini untuk semua jenama.
Rangkaian kedai teh susu yang membuka cawangan di Malaysia tidak semestinya sedang “menghabiskan lebihan barang” dari China.
Ia juga boleh menjadi strategi untuk membina pasaran dan mendapatkan pelanggan baharu.
2. Perang dagang mengubah arah eksport
Satu lagi faktor ialah tarif.
Tarif ialah cukai yang dikenakan terhadap barang import.
Apabila Amerika Syarikat menaikkan tarif terhadap produk China, kos membawa masuk produk itu boleh meningkat.
Pengimport mungkin menaikkan harga atau menyerap sebahagian kos. Pembeli pula mungkin memilih alternatif, sementara pengeksport mencari pasaran lain.
Perubahan arah perdagangan ini dikenali sebagai pengalihan perdagangan, atau trade diversion.
Menurut buletin Suruhanjaya Kajian Ekonomi dan Keselamatan AS–China (USCC), eksport China ke Amerika Syarikat turun 20% pada 2025.
Dalam tahun yang sama, eksport ke Asia Tenggara meningkat 13.4%.
Corak ini selari dengan pengalihan perdagangan.
Namun, ia tidak membuktikan bahawa setiap barang yang masuk ke Malaysia ialah produk yang gagal dijual di Amerika.
Perubahan tersebut juga boleh melibatkan komponen untuk pemasangan akhir dan penghantaran melalui negara lain.
Buletin USCC turut mengenal pasti kemungkinan ini dalam perubahan arah eksport China.
3. Pembeli menilai apa yang mereka dapat
Dari sudut pengguna, negara asal hanyalah satu perkara dalam keputusan membeli.
Harga, fungsi, reka bentuk, kemudahan mendapatkan produk dan servis selepas jualan juga boleh dipertimbangkan.
Ini berkait dengan konsep value for money, iaitu manfaat yang kita dapat berbanding wang yang dibayar.
Bayangkan dua kereta mempunyai harga hampir sama. Satu menawarkan lebih banyak ciri yang korang perlukan. Pilihan itu mungkin terasa lebih berbaloi.
Tetapi harga dan ciri bukan keseluruhan cerita. Kos servis, alat ganti, waranti dan nilai jualan semula juga perlu diambil kira.
Begitu juga dengan minuman. Pembeli boleh membandingkan harga, rasa, saiz dan lokasi kedai sebelum membuat pilihan.
Contoh-contoh ini membantu kita memahami cara pengguna menilai produk.
Namun, data pendaftaran kereta sahaja tidak membuktikan faktor mana yang paling mempengaruhi keputusan mereka.
Lebih banyak pilihan, lebih sengit persaingan
Bagi pengguna, kehadiran lebih banyak jenama boleh memberi lebih banyak pilihan.
Persaingan juga boleh mendorong syarikat menawarkan harga, produk atau perkhidmatan yang lebih menarik.
Bagi perniagaan tempatan, persaingan boleh menjadi lebih mencabar, terutama apabila berdepan syarikat yang mempunyai skala pengeluaran dan kemampuan pemasaran besar.
Namun, harga murah tidak semestinya bermaksud persaingan tidak adil.
Di sinilah kita perlu memahami lambakan, atau dumping.
Namun, penilaiannya bukan sekadar membandingkan dua tanda harga.
Pengiraan perlu mengambil kira perbezaan yang boleh mempengaruhi harga supaya perbandingan dibuat secara adil.
Sebelum tindakan anti-lambakan diambil, siasatan perlu membuktikan bahawa lambakan berlaku dan menyebabkan kemudaratan kepada industri tempatan.
Jadi, harga murah sahaja belum cukup untuk membuktikan lambakan.
Pada 6 Ogos 2026, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan siasatan terhadap import keluli canai rata bersalut aluminium dan zink dari China, Chinese Taipei (Taiwan) dan Vietnam, susulan petisyen pengeluar tempatan.
Siasatan ini bertujuan menyemak dakwaan tersebut. Ia belum bermaksud lambakan sudah terbukti berlaku.
Jenama tempatan, kerjasama antarabangsa
Hubungan perniagaan Malaysia dengan China turut membuka ruang kerjasama dalam teknologi dan pengeluaran.
Proton, contohnys mengembangkan pemasangan kenderaan elektrik di Tanjong Malim dalam ekosistem Geely Group.
Pada Mei 2026, syarikat itu mengumumkan rancangan meningkatkan kapasiti tahunan kilang kenderaan tenaga baharunya daripada 20,000 kepada 42,000 unit.
Ini menunjukkan bagaimana jenama nasional boleh bekerjasama dengan syarikat China untuk mengembangkan pengeluaran di Malaysia.
Jadi, negara asal jenama hanyalah satu perkara yang boleh kita pertimbangkan sebelum membeli.
Di mana produk itu dibuat? Adakah pengeluarannya menyokong pekerjaan dan pembekal tempatan?
Bagaimana pula kualiti, servis selepas jualan dan kos penggunaannya?
Kalau dua produk sama-sama memenuhi keperluan korang, apa yang paling menentukan pilihan: harga, kualiti, servis atau negara asal?