Sejak mencuri perhatian menerusi Cardboard Box pada 2022, FLO menghidupkan semula tradisi kumpulan gadis R&B British yang menjadikan harmoni vokal sebagai kekuatan utama muzik mereka.
Jorja Douglas, Stella Quaresma dan Renée Downer banyak mengambil inspirasi daripada R&B era 1990-an dan awal 2000-an.
Daripada Destiny’s Child dan TLC hingga Sugababes, mengetengahkan era tersebut dalam produksi yang lebih moden.
Album sulung mereka, Access All Areas, memuncak di tangga ketiga carta album United Kingdom, antara pencapaian tertinggi untuk album kumpulan gadis R&B British dalam lebih dua dekad.
Album itu kemudian menerima pencalonan Grammy 2026 untuk Best Progressive R&B Album.
Kini, FLO kembali dengan album kedua, Therapy at the Club, yang dilancarkan pada 7 Ogos lalu.
Jadi kalau Cardboard Box dan Walk Like This sudah berkali-kali masuk playlist anda, ini lima artis yang anda boleh cuba dengar!
1. Coco Jones
Kalau anda tertarik dengan vokal FLO yang kuat dan penuh emosi, Coco Jones antara artis yang patut anda dengar.
Muzik Coco Jones mengetengahkan R&B moden dengan pengaruh era 2000-an.
Bezanya, kalau FLO menggunakan tiga suara yang saling bersahut dan melengkapi, Coco membawa tenaga itu melalui satu vokal yang lebih besar, soulful dan dramatik.
Mulakan dengan ICU, yang memenangi Grammy untuk Best R&B Performance, kemudian cuba Here We Go (Uh Oh).
Kalau mahu kenal gaya muziknya dengan lebih dekat, dengarkan album Why Not More?.
2. VanJess
Kalau perkara pertama yang menarik minat anda terhadap FLO ialah cara beberapa suara saling melengkapi, cuba VanJess.
Duo adik-beradik Nigeria-Amerika, Ivana dan Jessica Nwokike, banyak mengambil inspirasi daripada R&B 1990-an seperti SWV, Brandy dan TLC.
Muzik mereka dipenuhi harmoni yang kemas, groove santai dan produksi R&B yang lembut.
Mulakan dengan EP Homegrown, terutama kalau anda sukakan R&B yang nostalgik tanpa kedengaran seperti sekadar mengulang bunyi lama.
Cuma VanJess bukan lagi duo aktif. Ivana meninggalkan kumpulan itu, sementara Jessica kemudian meneruskan kerjaya muzik solo\
3. Tinashe
Kalau Therapy at the Club ialah era FLO kegemaran anda, Tinashe patut berada dalam senarai seterusnya.
Muzik Tinashe banyak menggabungkan R&B, pop elektronik dan club sounds, dengan produksi dan rentak kekal membentuk mood sesebuah lagu.
Mulakan dengan Nasty, kemudian cuba 2 On dan album Quantum Baby untuk kenal bunyinya dengan lebih dekat.
4. Ravyn Lenae
Ravyn Lenae pula berada di bahagian R&B yang lebih dreamy, ringan dan eksperimental.
Kalau FLO biasanya tajam, penuh harmoni dan cepat menuju ke hook, Ravyn lebih suka membina suasana.
Vokal tingginya seolah-olah terapung di atas produksi yang luas dan berlapis.
Mulakan dengan Love Me Not daripada album keduanya, Bird’s Eye. Lagu itu kemudian menjadi antara karya yang paling menyerlah dalam kerjayanya.
5. Sugababes
Ini bukan artis baharu. Ini “homework”.
FLO banyak membawa pengaruh kumpulan gadis terdahulu seperti Destiny’s Child dan Sugababes ke dalam muzik mereka.
Dalam konteks British, Sugababes mungkin antara rujukan yang paling dekat, dengan gabungan R&B dan pop, harmoni yang kuat serta gaya vokal yang lebih natural dan tidak terlalu digilap.
Mulakan dengan Overload, kemudian terus ke Freak Like Me.
Dengar kalau anda mahu memahami antara blueprint awal kepada bunyi kumpulan gadis R&B British yang kini dibawa FLO kepada generasi baharu.
Bonus: KATSEYE
Kalau sebab utama anda suka FLO sebenarnya ialah dinamik sebuah girl group, bukan semata-mata R&B, cuba KATSEYE.
Muzik mereka jauh lebih pop dan datang daripada sistem pembentukan kumpulan yang berbeza.
Tetapi tarikannya hampir sama, beberapa personaliti, suara dan gaya berbeza yang perlu berfungsi sebagai satu unit.
Dengar kalau anda suka melihat bagaimana chemistry antara ahli boleh menjadi sebahagian daripada identiti sesebuah kumpulan.