Lain kali bila tengok semula filem kegemaran, cuba perhatikan latar belakang dengan lebih teliti.
Siapa tahu, lokasi yang anda nampak sebenarnya di Malaysia, bukannya negara yang digambarkan dalam cerita.
1. Crazy Rich Asians (2018)

Walaupun ceritanya berlatar di Singapura, beberapa babak ikonik sebenarnya dirakam di Malaysia.
Rumah agam keluarga Young? Itu merupakan Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur.
Carcosa Seri Negara merupakan bangunan bersejarah yang dilaporkan agak terbiar sebelum sebahagiannya dipulihkan untuk penggambaran.
Filem ini turut menjalani penggambaran di Langkawi dan Cheong Fatt Tze Mansion di Pulau Pinang, yang digunakan untuk babak mahjong antara Rachel dan Eleanor.
2. Anna and the King (1999)

Filem lakonan Chow Yun-Fat dan Jodie Foster ini berlatar di Thailand pada abad ke-19.
Tetapi, pihak berkuasa Thailand dilaporkan tidak bersetuju dengan cara Raja Mongkut digambarkan dalam cerita tersebut, menyebabkan produksi terpaksa mencari lokasi lain.
Akhirnya, Perak menjadi antara lokasi utama penggambaran, termasuk Istana Billah di Papan, Kellie’s Castle di Batu Gajah dan Stesen Kereta Api Ipoh, yang digunakan untuk menggambarkan Siam pada zaman dahulu.
3. Entrapment (1999)

Filem aksi rompakan lakonan Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones ini menampilkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dalam babak kemuncak.
Namun, ada juga beberapa helah lokasi. Babak akhir yang dirakam di Stesen LRT Bukit Jalil digunakan untuk menggambarkan Stesen LRT Pudu.
4. The Sleeping Dictionary (2003)

Drama romantik lakonan Hugh Dancy dan Jessica Alba ini berlatar pada era sebelum perang di Sarawak.
Hampir keseluruhan produksinya dijalankan di Sarawak. Jalan ceritanya juga mengambil inspirasi daripada tradisi masyarakat Iban yang dikenali sebagai Ngayap.
5. Police Story 3: Super Cop (1992)

Filem Hong Kong ini merupakan antara filem aksi klasik Jackie Chan.
Dalam filem ketiga siri Police Story ini, Jackie Chan kembali sebagai Chan Ka-Kui bersama Michelle Yeoh.
Salah satu aksi paling terkenal menyaksikan Jackie Chan berpaut pada tangga tali yang tergantung dari sebuah helikopter ketika terbang di sekitar Kuala Lumpur.
Babak berbahaya itu benar-benar dirakam di lokasi, bersama beberapa lagi babak aksi di sekitar ibu negara.
Malaysia sebenarnya dah lama jadi lokasi pilihan produksi antarabangsa, ada masanya tampil sebagai negara sendiri, ada juga yang ‘bertukar wajah’ menjadi Singapura, Thailand, Hong Kong atau Shanghai.
Jadi bila tengok filem antarabangsa selepas ini, perhatikan latarnya. Mana tahu ada lokasi Malaysia yang anda kenal.