IKEA Malaysia mengesahkan cawangan pertamanya di Malaysia Timur bakal dibuka di Kuching pada Disember ini.

Pembukaan itu menandakan kemasukan rasmi IKEA ke Sarawak selepas sekian lama hanya menawarkan perkhidmatan e-dagang dan penghantaran di negeri tersebut.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, pembukaan itu mengambil kira maklum balas pelanggan di Sarawak yang mahukan akses lebih dekat kepada pengalaman IKEA.

“Kami telah mendengar maklum balas pelanggan di Sarawak dan teruja kerana IKEA Kuching bakal membuka pintunya tidak lama lagi.

“Pembukaan IKEA Kuching membawa kami selangkah lebih dekat kepada matlamat untuk menjadikan pengalaman IKEA lebih mudah diakses serta relevan dengan cara hidup masyarakat di sini,” katanya.

Menariknya, IKEA Kuching bukanlah gedung besar seperti cawangan IKEA yang biasa kita lihat.

Sebaliknya, ia akan menjadi cawangan pertama IKEA Malaysia dengan konsep small-format, yang lebih kompak dan memfokuskan kepada kemudahan pelanggan.

Cawangan baharu ini juga bakal menjadi lokasi fizikal IKEA yang kelima di Malaysia, selepas IKEA Damansara, Cheras, Tebrau dan Batu Kawan.

Walaupun saiz lebih kecil, pelanggan masih boleh melihat susun atur ruang dan mendapatkan inspirasi dekorasi rumah.

Selain itu, membawa pulang beberapa produk terpilih pada hari yang sama.

Untuk produk yang tidak tersedia di kedai, pelanggan masih boleh membuat pesanan daripada katalog IKEA yang lebih luas.

Menjelang pembukaan tersebut, IKEA Malaysia juga sudah mula membina pasukan mereka di Kuching.

Syarikat itu berkata mereka akan bekerjasama dengan komuniti tempatan bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perkembangan kerjaya untuk bakat dari Sarawak.