PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa ada khabar baik mengenai kenaikan bil elektrik yang membebankan sebahagian isi rumah.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti langkah segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil berkenaan.
“Yang Tenaga Nasional Berhad (TNB), dia selesai, dia akan keluarkan kenyataan segera. Okay?
“It’s good news (berita baik), keluarkan kenyataan sekarang,” katanya ketika ditemui di Kementerian Kewangan (MoF), hari ini.
Mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta pengurusan tertinggi TNB dan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Anwar sebelum ini memaklumkan bahawa mesyuarat bersama MoF, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), ST dan TNB itu bertujuan mencari langkah mitigasi segera bagi membantu isi rumah yang terkesan.