Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan poster tular mendakwa kerajaan negeri mengisytiharkan cuti umum khas sempena kejayaan Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 adalah palsu.

Menerusi hantaran di Threads, Amirudin berkata sebarang pengumuman rasmi hanya akan dibuat ketika majlis penutupan SUKMA hari ini di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam.

“Sebarang pengumuman atau maklumat yang tersebar lebih awal adalah palsu dan sama sekali tidak benar. Harap maklum dan bersabar,” katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi dilaporkan berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk mengisytiharkan cuti umum khas, sekiranya kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan temasya itu.

Sementara itu, Kontinjen Selangor berjaya melepasi sasaran 80 pingat emas, sekali gus mengukuhkan peluang untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila temasya berakhir hari ini.

Pingat emas yang membawa Selangor melepasi sasaran itu disumbangkan pasukan wanita Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) selepas menewaskan Pulau Pinang 3-1 dalam aksi final di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Setakat ini, kontinjen Red Giants telah mengumpul 97 emas, 71 perak dan 69 gangsa, jauh mengatasi pencabar terdekat, Wilayah Persekutuan, dengan 50 emas, 49 perak dan 52 gangsa.

Terengganu pula berada di tempat ketiga dengan 41 emas, 44 perak dan 35 gangsa.

Renang menjadi antara penyumbang terbesar kejayaan Selangor apabila muncul juara keseluruhan sukan itu dengan 20 emas, tujuh perak dan 11 gangsa.