“Jangan guna AI sangat, nanti otak tepu.”

Logiknya masuk akal kalau kecerdasan buatan (AI) siapkan semua kerja, bila masa kita belajar?

Namun, dalam tinjauan terhadap kira-kira 9,700 pengguna Claude, 68% responden berkata mereka lebih banyak belajar apabila menggunakan AI.

Sebanyak 57% pula merasakan AI menjadikan kemahiran mereka lebih bernilai.

Yang menarik, pengguna yang lebih kerap menyerahkan tugasan kepada AI melaporkan kadar pembelajaran hampir sama dengan pengguna lain.

Tinjauan itu tidak menemukan corak bahawa lebih banyak kerja diserahkan kepada AI bermakna seseorang kurang pengalaman pembelajaran.

Kemahiran mungkin merosot

Responden menilai pengalaman mereka sendiri dan tidak menjalani ujian untuk mengukur kemahiran.

Anthropic sendiri mengakui seseorang boleh rasa seolah-olah dia belajar, sedangkan kemahiran yang jarang digunakan mungkin tetap merosot.

Bayangkan anda menggunakan AI untuk menulis setiap e-mel kerja.

E-mel anda mungkin semakin bagus. Tetapi bolehkah anda menulis sama baik apabila AI tiada?

Menurut panduan UNESCO, AI boleh membantu pembelajaran apabila kita menggunakannya untuk mendapatkan penjelasan, bertanya soalan dan meminta maklum balas.

Namun, pengguna perlu menilai cadangan AI secara kritis dan menyemak sama ada maklumat yang diberi tepat.

Jadi, cuba siapkan draf sendiri dahulu, kemudian minta AI semak kerja anda.

Anda juga boleh meminta AI menerangkan jawapan atau menguji kefahaman anda.

Sekali-sekala, cuba buat tugasan tanpa bantuan AI supaya anda tahu apa yang benar-benar sudah dikuasai.

Sementara itu, laporan Anthropic tersebut turut mendakwa wujud pihak tertentu menggunakan Claude untuk menjalankan operasi bagi mempengaruhi perbualan politik di Malaysia.

Menurut laporan itu, operasi tersebut membina profil pengundi bagi 222 kawasan Parlimen dan menguruskan kira-kira 1,000 akaun palsu di X.

Anthropic memaklumkan ia telah mengenal pasti dan menutup akaun Claude yang terlibat.

Jelas Anthropic, wujud juga sebuah laman web didakwa mengambil laporan media Malaysia yang sah, menulisnya semula beberapa kali dengan AI, sebelum diterbitkan di bawah nama penulis rekaan.

Artikel di laman itu mungkin kelihatan seperti berita biasa, tetapi pembaca mungkin tidak tahu dari mana kandungan asal datang atau siapa yang sebenarnya mengendalikan laman itu.

Anthropic mendedahkan ia tidak menemui bukti bahawa operasi tersebut berjaya menembusi perbualan pengguna sebenar di luar rangkaian akaun dan laman kendalian.

Justeru itu, bagi pembaca di Malaysia, rupa laman kemas dan nama penulis yang meyakinkan belum cukup untuk membuktikan sesuatu berita itu sahih.

Jika artikel menyentuh isu politik atau membuat dakwaan mengejutkan, semak siapa yang mengendalikan laman tersebut dan cari laporan asal daripada media utama negara.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa rajin untuk membandingkan maklumat dengan sumber lain sebelum berkongsi.

Tambahan pula, anda boleh menggunakan bantuan AI bagi mengenalpasti dan mempelajari tentang sesuatu isu yang sedang hangat diperdebatkan di negara ini.