Cabaran tenaga kerja Malaysia hari ini bukan lagi sekadar melahirkan graduan, tetapi memastikan golongan tersebut mempunyai kemahiran diperlukan industri.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berkata inisiatif seperti Akademi Dalam Industri (ADI) boleh membantu merapatkan jurang antara pendidikan dan pekerjaan.

Inisiatif ADI menggabungkan pembelajaran di tempat kerja bersama kelayakan yang diiktiraf industri.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ADI amat relevan dalam menangani masalah ketidakpadanan kemahiran EN: Ketidakpadanan kemahiran Skills mismatch BM: Kemahiran tidak sepadan dengan keperluan kerja. , khususnya dalam sektor yang memerlukan kemahiran teknikal khusus.

Jelasnya, antara cabaran utama majikan sejak sekian lama ialah ketidakpadanan antara kemahiran yang dipelajari dalam pendidikan formal dengan kemahiran sebenar diperlukan di tempat kerja.

ADI cuba mengatasi masalah ini dengan menggabungkan latihan praktikal secara berstruktur bersama kelayakan seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan program diploma.

Ini membolehkan peserta bukan sahaja memperoleh kelayakan, tetapi turut mendapat pengalaman sebenar dalam persekitaran kerja.

Namun, Syed Hussain berkata kejayaan program itu bergantung kepada kerjasama berterusan antara majikan dan penyedia latihan.

Kurikulum juga perlu sentiasa dikemas kini supaya selari dengan perubahan teknologi, automasi, pendigitalan dan keperluan industri.

Menurutnya, pembangunan kemahiran perlu berasaskan permintaan sebenar industri, bukan sekadar mengejar kelayakan.

Jelasnya, majikan kini juga melihat kepada kemahiran praktikal, kebolehan menyesuaikan diri, penyelesaian masalah dan tahap kesediaan seseorang untuk bekerja.

Bagi jawatan peringkat permulaan, terutama dalam bidang teknikal dan operasi, calon yang sudah mempunyai pengalaman praktikal mempunyai kelebihan kerana memerlukan tempoh latihan dan penyesuaian lebih singkat.

Dalam masa sama, ini tidak bermaksud kelayakan akademik semakin tidak penting.

Sebaliknya, majikan mahukan gabungan pengetahuan teori dan kemahiran praktikal.

Antara sektor yang dijangka mendapat manfaat termasuk pembuatan dan pembuatan termaju, elektrik dan elektronik (E&E), automotif dan aeroangkasa.

Selain itu, sektor logistik, pembinaan, perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan, teknologi digital dan ekonomi hijau.

Sektor-sektor ini memerlukan pekerja yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan teknikal, tetapi mampu menyelesaikan masalah dan memahami proses kerja industri.

ADI Perlu Ikut Permintaan Kemahiran Masa Depan

Syed Hussain berkata ADI juga perlu berkembang mengikut permintaan kemahiran masa depan.

Antaranya termasuk kemahiran digital, literasi kecerdasan buatan (AI), automasi EN: Automasi Automation BM: Tugas dilakukan secara automatik menggunakan teknologi. , keselamatan siber, analitik data EN: Analitik data Data analytics BM: Proses menganalisis data untuk membuat keputusan. dan kemahiran berkaitan kelestarian.

Pada masa sama, program seperti ADI boleh membantu syarikat mengenal pasti bakal pekerja lebih awal.

Melalui latihan di tempat kerja, majikan dapat menilai kemahiran teknikal, sikap, etika kerja dan kemampuan peserta menyesuaikan diri sebelum menawarkan pekerjaan tetap.

Peserta yang sudah melalui latihan dalam sesebuah syarikat juga biasanya lebih memahami budaya organisasi, prosedur operasi, standard keselamatan dan jangkaan prestasi.

Bagaimanapun, peluang untuk diserap sebagai pekerja tetap masih bergantung kepada keperluan syarikat, tahap produktiviti dan prestasi peserta.

MEF turut berpandangan bahawa sokongan dasar yang lebih kukuh diperlukan bagi menggalakkan lebih ramai majikan menyertai ADI, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Antara cadangan yang dikemukakan ialah geran latihan yang lebih besar, insentif cukai, proses pentadbiran mudah, fleksibiliti dalam reka bentuk program serta bantuan membangunkan jurulatih dalaman syarikat.

Pembiayaan bersama juga dicadangkan bagi bidang kemahiran baharu seperti AI, automasi, keselamatan siber dan teknologi hijau.

Tambah Syed Hussain, kerjasama antara kerajaan, industri dan penyedia latihan juga penting supaya program seperti ADI terus relevan dengan keperluan tenaga kerja masa depan.