Murid sekolah rendah di Malaysia dijangka mula mempelajari asas kecerdasan buatan (AI) melalui Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).
Setakat ini, antara penggunaan AI pada skala besar yang diumumkan dalam sistem persekolahan ialah Sistem Pengesanan Murid KPM (SiPKPM).
SiKPKPM digunakan bagi mengesan pergerakan murid termasuk murid yang berisiko cicir, murid cicir dan kanak-kanak berisiko untuk tidak mendapat akses pendidikan.
Namun, adakah perkembangan AI ini akan mengubah peranan guru di bilik belajar dan bagaimana panduan akan dilaksanakan dalam latihan guru dan pengajaran harian?
AI Jimatkan Masa Guru, Tetapi Pelajar Perlu Dipantau
Bagi guru Bahasa Inggeris dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Megah Ria, Yeong Sue Ann, beliau menekankan bahawa AI membantu menjimatkan waktu khususnya dalam melaksanakan tugas harian guru.
“AI membantu saya dengan kerja rutin seperti menyusun format dan menyediakan slides. Ini menjimatkan masa saya untuk kerja harian yang lebih mudah.
“Tugasan yang dahulu mengambil masa berminggu-minggu, kini saya dapatkan siapkan dalam sehari,” katanya kepada Kelas Sekejap.

Jelas Sue Ann, penggunaan AI dalam kalangan pelajar turut membantu pelajar menyampaikan idea dengan jelas, selain melihat pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah.
“Namun, apabila pelajar memberikan jawapan yang dijana oleh AI, hasil kerja mereka boleh kelihatan hampir sama.
“Sebagai guru, lama-kelamaan kami dapat mengenal pasti corak itu. Sebab itulah penting untuk menggalakkan pelajar bertanya soalan yang berbeza dan menilai jawapan diterima,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi guru yang dikenali sebagai Audrey mendedahkan kebanyakan pelajar kini bergantung kepada AI, jadi peranan guru amat penting dalam memberikan bimbingan terhadap pelajar.
“Ada pelajar yang memuat naik arahan tugasan dan menyerahkan seluruh kerja kepada AI.
“Jika ini menjadi kebiasaan, mereka mungkin kurang berlatih untuk berfikir sendiri dan kurang yakin dengan kemampuan mereka.
“Sebab itu, kami sentiasa mengingatkan pelajar bahawa mereka mampu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada jawapan AI,” katanya.
Jelas Audrey, peranan guru juga berubah. Dahulu, guru sering dilihat sebagai orang yang menyampaikan ilmu kepada pelajar.
“Kini, kami lebih berperanan sebagai pembimbing, memberi soalan atau arahan yang sesuai, menggalakkan pelajar meneroka dengan AI, kemudian membantu mereka menilai hasilnya.
“Buat masa ini, tumpuan kami ialah membina kesedaran tentang cara menggunakan AI dengan betul.
“Kami mahu pelajar menghargai keaslian idea dan berfikir sendiri, bukannya menyalin jawapan AI bulat-bulat,” tambahnya.
Pendekatan Malaysia Berbanding Negara Lain
Pada pertengahan tahun ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerbitkan Panduan Literasi Kecerdasan Buatan (AI) melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 2 Tahun 2026.
Di Indonesia, negara itu bermula lebih awal dengan menjadikan AI sebagai mata pelajaran pilihan.
Indonesia turut memperkenalkan pengekodan dan AI sebagai mata pelajaran pilihan secara berperingkat mulai tahun persekolahan 2025/2026.
Pelaksanaan AI sebagai mata pelajaran pilihan bermula pada Tahun 5, Tahun 7 dan Tahun 10.
Ini bermakna sebahagian murid di Indonesia mula mempelajari AI lebih awal daripada jadual KP2027 Malaysia, walaupun mata pelajaran itu tidak diwajibkan untuk semua.

Sementara itu, Singapura pula memasukkan literasi AI dalam pembelajaran murid sambil membina alat AI dalam platform pembelajaran nasional negara itu.
Antaranya ialah Authoring Copilot, yang membantu guru menghasilkan aktiviti pengajaran untuk disemak dan disesuaikan.
Program Code for Fun juga sedang dikemas kini untuk memperkukuh kemahiran AI murid dan dijadual tersedia kepada semua sekolah pada 2027.
Apa Maknanya Untuk Malaysia?
Malaysia sudah mempunyai panduan literasi AI dan rancangan untuk memasukkannya ke dalam kurikulum.
Cabaran seterusnya ialah menjadikan dasar itu berguna di dalam kelas.
Sekolah yang mempunyai tahap akses internet dan peranti berbeza juga mungkin memerlukan cara pelaksanaan yang berbeza.
Tarikh mula pada 2027 memberi Malaysia masa untuk membuat persediaan tersebut.
Ukuran kejayaan bukan berapa banyak alat AI digunakan, tetapi sama ada guru dapat mengajar dengan lebih berkesan dan murid benar-benar memahami apa yang dipelajari.