Hampir 700,000 pekerjaan di Malaysia dikenal pasti berisiko terjejas akibat kecerdasan buatan (AI) dan automasi.
Data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menunjukkan 42,807 individu kehilangan pekerjaan antara Januari hingga 12 Jun 2026.
Jadi, kerja apa yang paling mudah terkesan?
1. Kemasukan & Pemprosesan Data
Kerja memasukkan, menyusun dan memproses data semakin banyak dilakukan oleh AI.
Sistem hari ini boleh mengimbas dokumen, mengkategorikan maklumat dan mengekstrak data secara automatik.
Sebab itu, kerja yang sangat bergantung pada tugasan berulang semakin berisiko untuk berkurang.
2. Khidmat Pelanggan Berasaskan Skrip
Pernah guna chatbot untuk tanya status pesanan atau buat aduan?
Itulah antara tugas yang semakin mudah diambil alih AI. Kerja khidmat pelanggan yang banyak bergantung pada skrip, soalan berulang dan respons standard kini boleh dilakukan oleh chatbot.
3. Penguji Perisian Manual
Dulu, penguji perisian perlu menguji fungsi satu demi satu dan merekodkan masalah secara manual.
Kini, sistem automasi boleh menjalankan ribuan ujian dalam masa singkat dan mengesan isu dengan lebih konsisten.
Ini tidak bermakna semua pekerjaan dalam bidang jaminan quality (QA) akan hilang, tetapi kerja pengujian yang rutin semakin banyak diautomasi.
4. Kerja Pentadbiran Rutin
Memfailkan dokumen, menyusun jadual, memasukkan rekod dan menyediakan laporan asas juga semakin mudah dilakukan secara automatik.
5. Kerja Sokongan Vendor Luar
Automasi juga boleh memberi kesan kepada pekerja yang dibekalkan melalui syarikat vendor.
Apabila sebuah syarikat besar mengurangkan keperluan terhadap tenaga sokongan atau mengautomasikan proses tertentu, kesannya bukan sahaja kepada pekerja dalaman.
Vendor yang bergantung pada kontrak tenaga kerja tersebut juga boleh kehilangan permintaan.
Tapi, Adakah Semua Kerja Sedang Hilang?
Tidak semestinya.
Dalam tempoh yang sama, portal MYFutureJobs merekodkan lebih 605,000 kekosongan jawatan, berbanding sekitar 188,000 pencari kerja berdaftar.
Kadar pengangguran Malaysia juga kekal sekitar 3.0 peratus.
Ini menunjukkan pasaran kerja bukan sekadar mengecil. tetapi sedang berubah.
AI mungkin mengurangkan keperluan terhadap sesetengah tugas rutin, tetapi pada masa sama membuka permintaan untuk kemahiran baharu.