Air terjun seakan berdarah, pulau yang berputar dan sungai yang mendidih. Semua ini benar-benar wujud!

Ada tempat yang buat kita terus keluarkan kamera. Ada pula yang buat kita berundur selangkah.

Lima lokasi ini mungkin boleh membuatkan pembaca terkesima dengan keindahan dan keajaiban alam.

Walaupun bukan sebahagian daripada senarai Keajaiban Dunia yang diiktiraf, setiap satunya memperlihatkan sisi bumi yang sukar dipercayai.

1. Blood Falls, Antartika

Kredit: ZME Science

Di tengah-tengah ais putih Glasier Taylor, aliran merah seakan-akan darah keluar dari celah glasier.

Sebenarnya, warna itu berasal daripada air garam pekat yang kaya dengan zat besi.

Apabila terdedah kepada udara, zat besi mengalami pengoksidaan lalu menghasilkan warna kemerahan.

Penyelidik turut menemui zarah halus yang kaya dengan zat besi, yang membantu menjelaskan warna merah air tersebut.

Kandungan garam yang tinggi pula memastikan air itu kekal cair walaupun suhunya di bawah takat beku air tawar.

Jadi, glasier ini bukan berdarah. Ia cuma kelihatan begitu.

2. El Ojo, Argentina

Di Delta Paraná, Argentina, sebuah pulau hampir bulat sempurna terletak dalam kolam berbentuk bulat yang sedikit lebih besar.

Dari udara, rupanya seperti sebiji mata gergasi. Yang lebih aneh pulau ini terapung dan berputar.

Dengan diameter kira-kira 118 meter, El Ojo ditemui selepas pembikin filem Sergio Neuspiller menemuinya ketika mencari lokasi penggambaran pada 2016.

Namun, imej satelit menunjukkan pulau itu sudah wujud sekurang-kurangnya sejak 2003. Usia sebenarnya masih belum diketahui.

Namanya bermaksud “Mata”. Sekali pandang dari atas, memang susah nak bayangkan nama yang lebih sesuai.

3. Door to Hell, Turkmenistan

Kredit: IFL Science

Di Gurun Karakum, kawah gas Darvaza menyala dengan api yang mendapat bekalan gas asli dari bawah tanah.

Pemandangannya membuatkan lokasi ini digelar “Pintu Neraka”.

Menurut kisah popular, penggerudian Soviet menyebabkan tanah runtuh dan membentuk kawah besar.

Gas yang bocor kemudian dibakar kerana disangka akan habis dalam beberapa minggu. Namun, api terus menyala selama berdekad-dekad.

Tarikh sebenar kebakaran bermula masih belum dapat dipastikan.

Kajian satelit tahun ini menunjukkan api mula kelihatan antara akhir 1987 dan awal 1988.

Kini, Turkmenistan cuba mengecilkan api dengan mengalihkan gas melalui telaga berhampiran.

Pada 2025, syarikat gas negara melaporkan usaha itu mula menunjukkan hasil.

Nampaknya, “Pintu Neraka” pun boleh mula tertutup.

4. Tasik Maracaibo, Venezuela

Kredit: NaturPhilosophie

Berhampiran muara Sungai Catatumbo, kilat berulang kali menerangi langit di atas Tasik Maracaibo.

Kajian berasaskan data satelit NASA mengenal pasti tasik ini sebagai lokasi dengan kekerapan kilat tertinggi di dunia.

Purata kira-kira 233 kilat bagi setiap kilometer persegi setahun.

Rahsianya terletak pada geografi.

Udara panas dan lembap di atas tasik berinteraksi dengan udara lebih sejuk yang turun dari kawasan pergunungan sekeliling.

Keadaan ini membantu menghasilkan ribut petir secara berulang, hampir 300 hari setahun.

Dikenali sebagai Kilat Catatumbo, fenomena ini menjadikan langit malam seolah-olah pentas pertunjukan cahaya.

5. Sungai Mendidih, Peru

Kredit: National Geographic

Jauh di dalam hutan Amazon di Peru, terdapat sungai bernama Shanay-timpishka.

Di sesetengah bahagian, airnya cukup panas untuk menyebabkan lecur yang membawa maut.

Apa yang menjadikannya luar biasa ialah tiada gunung berapi aktif berdekatan.

Haba sungai ini dikaitkan dengan proses geoterma. Air meresap ke bawah tanah, dipanaskan oleh haba bumi, kemudian naik semula melalui rekahan batuan.

Air panas itu mengalir masuk ke sungai, menjadikan sebahagian alirannya berbahaya.

Lama sebelum menarik perhatian penyelidik, sungai ini sudah dianggap suci oleh masyarakat tempatan.

Tempat-tempat ini tidak memerlukan kisah mistik untuk terasa menyeramkan.

Air garam, pulau terapung, gas, ribut petir dan haba bumi sudah cukup untuk membuatkan planet sendiri terasa seperti dunia asing.