KUALA LUMPUR: Sebanyak 34 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 7 pagi ini.

Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 198.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS), jerebu terus menjejaskan beberapa negeri, terutama Sarawak dan Pantai Barat Semenanjung.

Di Sarawak, Kuching mencatat IPU 192, diikuti Samarahan (185) dan IPD Serian (182).

Kawasan lain yang turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Mukah, Sarikei, Samalaju, Bintulu, Miri dan Sibu.

Di Semenanjung, bacaan tidak sihat turut dicatatkan di Nilai, Negeri Sembilan serta beberapa lokasi di Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Johor dan Pahang.

IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dianggap berbahaya.

Orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar dan mengambil langkah perlindungan, terutama kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan.