Kalau perlukan modal untuk besarkan perniagaan, pinjaman bank bukan satu-satunya pilihan.

Kerajaan turut menyediakan beberapa geran dan bantuan yang tidak perlu dibayar balik seperti pinjaman.

Namun, setiap geran biasanya datang dengan syarat tertentu dan hanya boleh digunakan untuk tujuan yang telah diluluskan.

Ini antara program yang mungkin dapat bantu anda mulakan bisnes!

1. Geran Digital PMKS MADANI

Geran ini sesuai bagi yang baru nak mula bisnes atau untuk tujuan tingkatkan penggunaan teknologi.

Kerajaan menanggung 50% daripada nilai invois EN: Invois Invoice BM: Dokumen yang menyenaraikan barangan atau perkhidmatan yang dibeli, jumlah bayaran dan butiran transaksi. , sehingga maksimum RM5,000.

Jadi, kalau kos penyelesaian digital anda RM8,000, geran boleh menampung sehingga RM4,000.

Antara perkara yang boleh dibiayai termasuk Electronic Point of Sale (e-POS), pemasaran digital, sistem HR dan CRM.

Selain itu keselamatan siber, perakaunan, e-Invois dan juga penyelesaian kecerdasan buatan (AI).


2. Geran Digital Penjaja MADANI

Kalau anda berniaga di gerai, pasar atau sebagai penjaja kecil, geran ini lebih khusus.

Geran Digital Penjaja MADANI (GDPjM) menawarkan bantuan sekali bayar sehingga RM1,000 untuk membantu penjaja menggunakan teknologi digital dalam operasi mereka.

Fokusnya termasuk pembayaran digital dan sistem e-POS.

Namun, penerima Geran Digital PMKS MADANI tidak boleh menerima geran penjaja ini untuk bantuan yang sama.

Geran tersebut juga dibayar kepada penyedia perkhidmatan yang dilantik, bukannya sebagai wang tunai bebas kepada peniaga.

3. Geran Pelancaran JKM

Nak mula berniaga tetapi berada dalam kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)?

JKM mempunyai Bantuan Geran Pelancaran, dengan nilai maksimum RM2,700 secara sekali bayar.

Geran ini bertujuan membantu kumpulan sasar JKM yang mempunyai potensi menjalankan perusahaan atau perniagaan kecil supaya mereka boleh lebih berdikari.

Tetapi ia bukan geran terbuka kepada semua golongan B40.

Antara kumpulan yang dinyatakan termasuk penerima bantuan bulanan JKM atau ahli keluarga mereka, individu OKU yang menerima perkhidmatan JKM.

Selain itu, kumpulan tertentu di bawah seliaan jabatan.

4. Geran Agropreneur Muda

Kalau bisnes anda berkaitan pertanian atau makanan, jumlah bantuannya jauh lebih besar.

Program Agropreneur Muda menyediakan Geran Start-Up sehingga RM30,000 bagi projek tanaman, ternakan dan perikanan EN: Perikanan Fisheries BM: Sektor yang melibatkan aktiviti menangkap, menternak dan mengusahakan ikan atau hidupan akuatik. .

Untuk projek industri makanan dan asas tani pula, bantuan permulaan boleh mencecah RM20,000.

Menariknya, geran ini biasanya diberikan dalam bentuk barangan atau keperluan projek, bukannya wang tunai terus.

Pemohon Geran Start-Up perlu berumur sekitar 18 hingga 43 tahun, manakala antara syarat lain ialah mempunyai lokasi projek yang sesuai.

5. Geran Agropreneur Muda Scale-Up

Sudah dapat Geran Agropreneur Muda dan mahu besarkan operasi?

Ada pula Geran Scale-Up sehingga RM50,000 bagi projek pertanian huluan seperti tanaman, ternakan dan perikanan.

Bantuan ini memberi fokus kepada penggunaan mekanisasi, automasi dan agroteknologi untuk meningkatkan kapasiti perniagaan.

Jadi, Geran Mana Yang Sesuai?

Kalau anda peniaga biasa yang mahu mendigitalkan operasi, Geran Digital PMKS MADANI mungkin paling relevan.

Kalau anda penjaja kecil, semak Geran Digital Penjaja MADANI.

Untuk kumpulan sasar JKM yang mahu mula berniaga, ada Geran Pelancaran, manakala usahawan dalam sektor pertanian dan makanan boleh melihat program Agropreneur Muda.

Cuma diingatkan, geran tidak semestinya bermaksud duit tunai masuk terus ke akaun anda.

Ada program berbentuk geran padanan, ada yang membayar terus kepada vendor dan ada juga yang memberi bantuan dalam bentuk peralatan atau barangan.

Sebab itu, semak syarat dan status permohonan terkini di portal rasmi sebelum membuat sebarang pembelian atau komitmen.