Kerajaan masih bercadang meneruskan subsidi dalam sektor pertanian dan perikanan menjelang Belanjawan 2027.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bantuan masih diperlukan dalam sektor seperti padi dan perikanan.

Ini susukan kos pengeluaran masih tinggi dan pendapatan pengeluar belum cukup stabil.

Pada masa yang sama, kerajaan turut mahu mengembangkan industri agromakanan melalui pelaburan dan eksport.

1. Subsidi Padi Masih Diperlukan

Antara bantuan utama kepada pesawah ialah Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).

Di bawah skim ini, kerajaan memberi subsidi RM500 bagi setiap tan metrik padi yang dihasilkan.

Dengan harga lantai belian padi sebanyak RM1,500 satu tan, pesawah kini menerima sekurang-kurangnya RM2,000 bagi setiap tan metrik termasuk subsidi.

2. Kenapa Kerajaan Masih Bayar Subsidi?

Kos menghasilkan makanan dipengaruhi harga baja, racun, bahan api, upah dan penggunaan mesin.

Bagi pesawah, harga lantai padi juga dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 pada Februari 2025 kerana kenaikan kos pengeluaran.

Sebab itu kerajaan melihat subsidi sebagai salah satu cara untuk memastikan pengeluaran makanan terus berjalan sambil membantu pendapatan pengusaha.

3. Nelayan Masih Perlukan Bantuan

Sektor perikanan turut menerima perhatian menjelang Belanjawan 2027.

Antara bantuan yang akan diteruskan termasuk subsidi diesel, elaun sara hidup dan bantuan kepada nelayan.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga meminta kerajaan terus memberi keutamaan kepada bantuan ini.

Jelas Mohamad Sabu, subsidi akan dinilai dari semasa ke semasa.

4. Kerajaan Mahu Jana Duit Dari Eksport

Subsidi bukan satu-satunya strategi kerajaan.

Pada hari pertama MAHA Trade Days 2026, sebanyak 14 memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM1.49 bilion ditandatangani dalam sektor agromakanan.

Sasaran keseluruhan acara itu ialah sekitar RM8 bilion dalam komitmen pelaburan dan perdagangan.

Kerjasama terbesar melibatkan pembangunan kilang pemprosesan nanas di Miri bernilai sekitar RM1.03 bilion.

5. Jadi, Apa Strateginya?

Secara mudah, kerajaan sedang menggunakan dua pendekatan serentak.

Di dalam negara, subsidi membantu melindungi pengeluaran makanan asas dan pendapatan pesawah serta nelayan.

Di luar negara pula, kerajaan cuba meningkatkan pendapatan sektor pertanian melalui pelaburan, pemprosesan makanan dan eksport produk seperti kopi, koko, nanas dan durian.

Sektor Pertanian Ada Nilai Pelaburan

Subsidi pertanian bukan sekadar bantuan tunai kepada pengeluar.

Ia juga digunakan untuk memastikan bekalan makanan terus dihasilkan, kos pengeluaran dapat ditampung dan pendapatan pesawah serta nelayan lebih stabil.

Bezanya sekarang, kerajaan mahu sektor ini menjana lebih banyak nilai melalui pelaburan dan eksport, bukan bergantung kepada subsidi semata-mata.