Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penerima pertama Anugerah Kecemerlangan Yayasan Sheikh Abu Bakar, sebagai pengiktirafan terhadap khidmat awam beliau selama lebih lima dekad.

Anugerah itu turut menghargai sumbangannya dalam pendidikan, keilmuan Islam, pembangunan institusi, dialog antarabangsa dan kesejahteraan manusia.

Penghargaan itu disampaikan pada majlis ‘Gathering of Honour for the Prime Minister of Malaysia’ di Pusat Konvensyen Markaz.

Sempena lawatan beliau ke Markazu Saquafathi Sunniya atau Jamia Markaz, antara institusi Islam terkemuka di India.

Pada majlis sama, Anwar menerima manuskrip tulisan tangan Sahih al-Bukhari daripada Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad.

Pemberian itu menghargai sokongan kerajaan Malaysia terhadap penganjuran majlis bacaan hadis antarabangsa selama tiga tahun berturut-turut.

“Dengan penuh penghormatan, Yayasan Sheikh Abu Bakar menganugerahkan Anugerah Kecemerlangan yang pertama kepada Anwar Ibrahim sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang beliau dalam khidmat awam, pendidikan, pembangunan ekonomi dan institusi, pemikiran Islam serta dialog antarabangsa.

“Selain menghargai kehidupan yang didedikasikan untuk membentuk masyarakat melalui ilmu, kepimpinan dan khidmat kepada kemanusiaan,” kata Rektor Yayasan Sheikh Abu Bakar, Dr Roshan Nurani

Terdahulu, Anwar bertemu Sheikh Abubakr, yang juga Mufti Besar India ke-10, selepas menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi.